Berkongsi pengetahuan….
TALI GANTUNG DI PENJARA
Tali gantung yang diimport diperbuat dari jenis jut yang paling bagus
dan dibalut dengan kulit lembut supaya tidak mencederakan kulit banduan
yang akan digantung.
Setiap satu berharga di antara RM4,000 satu hingga RM5,000.
Tali gantung ini semasa diterima daripada ejen pembekalnya akan diuji
ketahanannya dengan menggantungkan patung seberat lebih 90 kilo selama
72 jam.
Setiap tali gantung ini mempunyai nombor siri dan ia
diklasifikasikan sebagai senjata dan disimpan di dalam peti besi.
'Setiap tali gantung kita terima ada perkiraannya. Kita tak boleh poie
terus dan pasang, ada cara-cara yang kita kena ikut. Kita ada empat
jenis tali dan kita pilih mengikut berat banduan,' jelas Samuel.
Di antara ciri utama tali gantung ialah tembaga pembunuh yang berfungsi
untuk mematahkan tengkok banduan.
Di Penjara Kajang umpamanya banduan yang dijatuhi hukuman gantung
dikenali sebagai banduan akhir dan ditempatkan di Blok Abadi sehingga
hukuman dilaksanakan.
Mereka ini menghabiskan hampir 23 jam sehari sendirian di sel mereka
dan hanya boleh meninggalkan sel atas kelulusan pegawai yang bertugas.
Banduan akhir mungkin terpaksa menunggu bertahun-tahun sehingga habis
keseluruhan proses rayuan yang membabitkan Mahkamah Rayuan, Mahkamah
Persekutuan dan Jemaah Pengampunan Negeri.
Sekiranya rayuan kepada Badan Pengampunan ini juga ditolak, Mahkamah
Persekutuan akan mengeluarkan waran untuk melaksanakan hukuman di mana
di dalam waran itu akan disebut nama banduan, nombor kad pengenalannya
serta masa hukuman akan dijalankan iaitu di antara 5.30 pagi hingga
6.30 pagi.
'Kita diberi satu jam untuk laksanakan hukuman. Untuk banduan beragama
Islam biasanya kita akan jalankan hukuman gantung ini pada hari Jumaat,
selepas solat subuh. Bagi yang bukan Islam, waktunya lebih kurang sama,
cuma harinya boleh berbeza,' kata Samuel.
Selepas waran dikeluarkan, banduan akhir akan dibawa berjumpa dengan
pengarah penjara yang akan memaklumkan tentang pelaksanaan hukuman
gantung selepas segala proses rayuan terakhir ditolak.
'Biasanya banduan akhir ini akan tahu apabila dia dibawa keluar dengan
tangan bergari dan ada kawalan ketat, dia tahu keesokan harinya sesuatu
yang buruk akan berlaku (dia akan digantung),' kata Samuel.
Semasa banduan akhir berada di bilik pengarah ini, kaum keluarganya
yang biasanya sudah dimaklumkan seminggu lebih awal sudah menunggu di
luar penjara untuk 'perjumpaan terakhir.'
Lazimnya suasana dan pilu akan menyelubungi setiap perjumpaan terakhir
ini.
Banduan juga diberi pilihan untuk 'hidangan terakhir' bernilai
RM7.50.
HARI PENGGANTUNGAN
Menurut Samuel, kebanyakan banduan akhir yang menjalani hukuman gantung
'poie dengan rela' setelah menunggu begitu lamo untuk hukuman
dilaksanakan.
'Mereka yang rajin sembahyang, tak kira agama, menunggu dengan tenang
dan sudah bersedia. Ada beberapa orang sahaja yang menjadi agresif
sehingga ke saat-saat terakhir.
'Ada sesetengah banduan puas hati dan beritahu saya nasib mereka lebih
baik dari saya kerana mereka tahu bila mereka akan mati. Bila kita buka
pintu untuk bawa mereka keluar ke bilik gantung, ada yang salam dengan
kita dan ucap terima kasih. Mereka kata mereka dah tak tahan lagi
menunggu,' katanya.
Di hari mereka diberitahu hukuman gantung akan dijalankan, mereka akan
meminta pena dan kertas untuk nota terakhir.
'Jangan ikut tabiat buruk ayah' antara kata-kata terakhir seorang
banduan untuk anak-anaknya, yang masih Samuel ingat.
Banduan juga boleh memilih pakaian apa yang hendak dipakainya pada hari
hukuman.
'Ada banduan beragama Islam hanya mahu pakai kemeja T dan seluar
sembahyangnya. Ada yang memilih kot dan tali leher. Ada yang pakai
kasut berharga RM300. Mati penuh gaya. Banduan itu kata dengan jenaka,'
cerita Samuel.
Hukuman gantung pula hanya dijalankan selepas semua pihak termasuk
pengarah dan doktor berpuas hati dengan keadaan banduan pada hari
hukuman akan dilaksanakan.
BILA PINTU PERANGKAP RENGGANG
Pintu perangkap di bilik gantung di mana banduan akhir berdiri akan
secara automatik renggang sepenuhnya bila 'gear' ditarik.
Di bawah lantai pintu perangkap ada ruang kosong dengan ketinggian 5.18
meter.
Bunyi pintu perangkap yang terbuka dengan kuatnya memecah kesunyian
suasana penjara.
Menurut Samuel, proses menggantung dari masa banduan dibawa keluar dari
bilik menanti ke bilik gantung dan pengarah memberi isyarat kepada
tukang gantung untuk menarik 'gear' yang akan antaranya membuka pintu
perangkap hanya mengambil masa kira-kira 15 saat.
Semuanya perlu dibuat dengan lancar dan menurut Samuel, kematian
berlaku dalam masa di antara 30 saat hingga satu minit dan banduan akan
diturunkan dan diletak di atas troli selepas setengah jam dibiar
tergantung.
'Saya sering mengingatkan pembantu-pembantu saya supaya menghormati
jenazah kerana dia sudah menjalani hukuman. Kalau kita hormat pada dia,
semuanya tak ada masalah.
'Bagi saya pula, kebiasaannya saya akan pandang muka jenazah ini dan
letakkan tangan saya di atas dadanya. Ini petua yang diberi oleh bos-
bos saya dulu,' kata Samuel.
Menjalankan tugas khas ini memberikan banyak keinsafan kepada Samuel.
Beliau menasihatkan ibu bapa supaya memupuk nilai-nilai murni kepada
anak-anak mereka untuk mengelak mereka terjerumus melakukan jenayah.
'Segala-galanya bermula dari keluarga. Kalau keluarga tak kawal,
lingkup. Dadah, umpamanya, kalau seorang dalam keluarga jadi penagih,
satu keluarga akan terjejas,' katanya sambil menjelaskan bahawa
kebanyakan kes hukuman gantung adalah berkaitan dengan dadah.
sekian...
Tiada ulasan:
Catat Ulasan